Assalamualaikum sahabat semua. Sihat sejahtera hendaknya disamping menjalani ibadah puasa bagi tahun ini. Semoga kita semua dirahmati Allah s.w.t.
Hari ini saya hendak kongsikan mengenai salah satu rutin saya sebagai suri rumah. Ini adalah rutin yang tidak pernah habis saya kira kerana setiap kali baju dicuci dan diangkat, pasti ada baju yang perlu digosok . Saya memilih untuk menggosok baju pada waktu pagi selepas solat subuh kerana pada waktu itu cuaca sejuk. Masa yang diambil untuk menggosok lebih kurang 2 jam atau bergantung kepada jumlah baju yang perlu digosok.
Sewaktu kecil saya memang sudah diajar untuk menggosok baju bapa memandangkan ibu telah meninggal dunia seawal saya darjah 4. Bapa sangat mementingkan kebersihan dan kekemasan. Hampir kesemua baju, seluar dan kain pelikat digosok. Ketika saya tinggal di asrama seawal tingkatan 1, sememangnya rutin menggosok baju ini juga tidak dapat lari dari hidup. Uniform sekolah dan juga tudung perlu digosok sendiri. Kawan sebilik ajar saya gosok tudung sekolah.
Selalunya saya memilih pagi Ahad untuk menggosok baju jika tidak balik kampung atau keluar bersiar-siar. Tetapi jika pada hari Ahad tersebut saya tiada di rumah, jadual terpaksa ditukar ke hari yang lain. Tidak menjadi masalah kerana jadual diatur sendiri cuma jika menggosok baju pada hari biasa, tempoh menggosok tidak boleh lama kerana perlu menyediakan sarapan dan menguruskan anak untuk ke sekolah agama.
Biasanya saya akan mulakan dengan menggosok uniform sekolah anak-anak. Jumlahnya lebih kurang 10 pasang. Senang sahaja kerana baju anak-anak saiznya kecil. Kemudian diteruskan dengan baju dan seluar kerja suami dan seterusnya baju-baju saya. Pakaian saya sendiri juga perlu digosok walaupun bekerja di rumah kerana saya perlu menghantar anak-anak ke sekolah dan sekali-sekala perlu ke pasaraya untuk membeli barangan keperluan rumah (groceries). Tudung bergantung selalunya saya suka pakai tudung 'instant' yang kurang kedutan. Saya paling malas gosok tudung. Oleh itu, saya tidak memakai tudung bawal sebagai tudung harian : )
Masih ingat lagi sewaktu saya belum bekerja dan berkahwin, kakak (kakcik) banyak mengajar saya membuat kerja-kerja rumah khususnya menggosok baju. Pernah sekali kakcik meminta saya menggosok baju kurungnya, kemudian dia memberitahu bahawa saya gosok baju 'cincai' kerana kain di bahagian belakang lutut masih berkedut walhal corak kain tersebut dipenuhi dengan corak bunga-bungaan. Sememangnya kakcik memang sangat teliti dan sangat tersusun orangnya. Sangat konsisten dalam bab kemas dan susun. Kadang-kadang saya tertanya-tanya bagaimana kakcik mendapat tenaga yang banyak untuk menggosok baju kerana hampir kesemua baju termasuk pakaian harian biasa suaminya, walhal kakcik bekerja di pejabat. Keluar pagi balik lewat petang, masak lagi, anak-anak lagi. Banyak betul tenaga dan semangat dia. Agak berbeza dengan saya yang agak rajin tetapi tunggu 'mood' datang.
![]() |
seterika yang saya gunakan sekarang. Mudah dan sangat licin hasil gosokannya. Panasonic NI-W410TS |
Sampai sini dululah cerita rutin sebagai suri rumah iaitu menggosok baju. Di entri yang lain, InshaAllah saya cerita rutin yang lain pulak. Sehingga berjumpa lagi di lain entri. Assalamualaikum : )
No comments:
Post a Comment