Sumber: FB Ensiklopedia petua melayu lama
Petua Mendidik Anak-Anak Berhari Raya Di Rumah Orang
1. Hormati tuan rumah - Apabila tiba di rumah yang dikunjungi, elakkan daripada terus ke meja hidangan. Sebaiknya, cari tuan rumah terlebih dulu atau jika tidak ada, mungkin mereka sibuk di dapur atau melayan tetamu lain. Ajar anak untuk bersalaman dengan tetamu berdekatan ketika itu. Kemudian duduk dengan sopan. Sementara menunggu tuan rumah keluar, ambil kesempatan berbual-bual mesra dengan tetamu yang ada.
2. Jaga adab ketika makan - Menunjukkan budi bahasa yang baik ketika makan sangat penting. Elakkan daripada berebut. Jika perlu, beratur mengikut giliran. Ambil makanan ketika dipelawa tuan rumah. Mengambil makanan dengan kadar sederhana juga menunjukkan adab yang baik. Mengelak daripada mengambil makanan berlebihan sehingga kelihatan berlonggok di pinggan satu cara yang amat baik. Habiskan makanan diambil dan elakkan pembaziran. Untuk ibu bapa, pastikan mereka menyuapkan anak makan dan minum bagi mengelak tertumpah. Jangan biarkan anak mengambil sendiri makanan dikhuatiri peralatan digunakan pecah. Ketika inilah ibu bapa boleh mendidik anak-anak supaya bersopan ketika makan.
3. Berdisiplin dan menjaga adab ketika beraya - Kehadiran anak bersama ibu bapa memang sukar dikawal, sehingga ada yang berlari-lari keluar masuk ke rumah, masuk ke bawah meja, naik ke atas meja makan, masuk ke bilik tuan rumah yang kebetulan mungkin tidak berkunci, masuk ke dapur, menangis atau tertumpah air di lantai dan pelbagai lagi kerenah semula jadi mereka. Di sinilah peranan ibu bapa untuk mengajar anak dengan sifat yang baik. Biasanya anak kecil akan mudah bosan jika terlalu lama beraya, justeru jangan terlalu lama beraya untuk kenalan biasa melainkan saudara terdekat atau kenalan rapat. Ini memastikan anda boleh menggunakan ruang rumahnya seperti menidurkan dan memandikan anak tanpa masalah.
4. Jangan mata duitan - Kanak-kanak juga perlu diingatkan jangan hanya berhari raya di rumah orang kaya saja. Tujuan asal berziarah pada hari raya adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama Islam. Oleh itu, jangan dipinggirkan mereka yang miskin dan kurang berkemampuan untuk memberi duit raya. Didik anak agar tidak terlalu menjadi mata duitan dengan membeza-bezakan pemberian duit raya. Selepas balik daripada beraya, sepatutnya anda mengajar anak supaya bersyukur dengan pemberian itu. Katakan kepada mereka, walau macam mana miskin dan daif sekalipun tuan rumah, mereka tetap gembira menerima kunjungan kanak-kanak pada hari raya.
No comments:
Post a Comment