Assalamualaikum w.b.t. sahabat sekalian.
Hari ini ingin saya kongsikan sedikit pengalaman semasa bersalin anak pertama pada Januari 2007. Dengan rezeki yang diberikan olehNya, Alhamdulillah saya telah selamat melahirkan anak lelaki sulong pada petang Jumaat, 5.1.2007 (awal 2 minggu daripada due date). Masih lagi terbayang suasana dan perasaan pada ketika itu walaupun telah berlalu 7 tahun berlalu.
Jam menunjukkan 5.30 pagi, pada ketika itulah saya tersedar kerana terasa seperti ada cecair mengalir seperti membuang air kecil. Dalam hati, "air ketuban ke ni?" Ya! Air ketuban pecah. Saya kejutkan suami dan memberitahu air ketuban telah pecah. Dengan situasi yang agak panik, saya terus menukar baju untuk ke hospital dengan kadar segera. Saya diberitahu oleh doktor dan keluarga bahawa jika air ketuban pecah maka haruslah segera ke hospital. Suami pula sempat mandi dahulu sebelum pergi. Sangat tenang orangnya. Tiba di muka pintu tiba-tiba terasa seperti sebaldi air keluar dari bawah perut. Pada ketika itu saya sangat takut. Suami alas tempat duduk dengan tuala dan menenangkan saya sebaik mungkin. Sesungguhnya, tiada kesakitan langsung pada ketika itu tetapi hanyalah ketakutan. Takut terbersalin dalam kereta.
Sampai di Hospital Islam Az-Zahrah, Bangi lebih kurang pukul 6 pagi. Saya telahpun menempah bilik untuk bersalin, jadi keadaan agak mudah untuk diuruskan tambahan pula hospital tersebut adalah panel tempat suami bekerja. Staff nurse mula memeriksa bukaan rahim, baru terbuka 1cm. Doktor akan datang selepas subuh katanya.
Lebih kurang pada pukul 7 pagi, perasaan lega setelah melihat wajah doktor yang selalu saya jalani pemeriksaan sepanjang tempoh mengandung. Dr. Khamsiah Muda, pakar sakit puan di hospital Az-Zahrah pada ketika itu. Doktor memberitahu bahawa saya perlu di 'induce' untuk mempercepatkan bukaan laluan rahim memandangkan air ketuban telah pecah. Kemudian. jururawat memasukkan ubat ke dalam punggung supaya saya segera membuang air besar.
Pukul 8 pagi, saya dimasukkan ke bilik bersalin dan diberikan ubat 'induce' serta suntikan epidural (ubat tahan sakit). Suntikan epidural adalah permintaan saya sendiri setelah banyak membuat rujukan daripada doktor dan juga sumber sakit puan yang lain.
Semasa menunggu masa untuk bersalin, sempat saya membaca doa yang ditampal di dinding bilik bersalin tersebut. doa mohon dipermudahkan segala urusan.
Di bilik bersalin, suami sabar menemani sambil membaca surah Al-Quran. Kesakitan makin terasa apabila kontraksi semakin kerap dan kuat. Kesakitan sebanyak 20% daripada kesakitan sebenar jika bersalin tanpa ubat tahan sakit sudah saya terasa. Betapa hebatnya emak kerana melahirkan saya dan adik-beradik yang lain tanpa ubat tahan sakit pada waktu dahulu.
Jam menunjukkan pukul 4 petang, bukaan rahim kini 9 cm. Doktor dan jururawat mula membuat persediaan untuk proses bersalin. Perasan berdebar-debar pada ketika hanya Allah yang tahu. Bersalin dengan ditemani suami amat saya hargai. Tepat jam 4.54 petang sedikit demi sedikit kepala bayi pertama saya menunjukkan rupa. Allahuakbar! Syukur Alhamdulillah.
Terima kasih diucapkan kepada Dr. Khamsiah Muda dan juga beberapa orang jururawat senior yang banyak memberi semangat semasa proses bersalin. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan tenang kerana tiada jeritan dan kesakitan yang melampau. Terima kasih juga kepada doktor di atas nasihat untuk mengambil suntikan epidural tersebut. Fikir positif untuk mendapatkan hasil yang positif.
No comments:
Post a Comment