Sunday, 15 June 2014

KEMAS SOFA : )

Sumber Pic.: Google

Assalamualaikum w.b.t.
Bertemu lagi kita di lembaran baru untuk hari ini. Rutin sebagai isteri dan ibu diteruskan sehari-hari seperti biasa. Cuti sekolah sudah sampai ke penghujungnya. Persiapan fizikal dan mental anak-anak untuk kembali ke sekolah perlu disiapkan supaya esok pagi keadaan semuanya lebih teratur dan tenang.


Hari ini entah kenapa perasaan tidak keruan, agak stress, tiada idea hendak menulis di blog ditambah dengan karenah anak-anak yang 1001 macam, makanya saya perlukan terapi diri. Bukanlah terapi apa sangat cuma jika saya berjaya mengemas dan mengubahsuaikan susunatur di dalam rumah ini, jiwa saya akan kembali tenang. Macam-macam kan manusia ni : )

Projek terapi diri yang saya maksudkan adalah kemas sofa secara terperinci. Selalunya saya menggunakan vakum untuk membersihkan tempat duduk, kusyen untuk bersandar dan kusyen kecil. Hari ini saya akan melakukan sesuatu diluar kebiasaan. Tidak perlu la sampai nak tukar sofa kan?

Sofa saya jenis fabrik yang boleh dibuka alasnya. Cuma tarik je pelekat tu untuk membuka alas sofa tersebut. Senang je rupanya. Kemudian terus masukkan ke dalam mesin basuh. Kemudian,  acara memvakum secara detail termasuk di bawah kusyen tempat duduk, celah-celah 'corner' dan di bahagian bawahnya. Vakum perlu ditukar kepala kepada bentuk muncung supaya senang nak sedut habuk di celah-celah sofa. Kusyen sofa tu kemudian dijemur di luar rumah di bawah cahaya matahari yang terik untuk membenarkan segala kuman-kuman bertempiaran lari dek kepanasan matahari. Dalam proses menggeledah segala habuk, terjumpalah transformer yang telah terpisah badan dan kakinya, lego-lego kecil, dan paling geram apabila terjumpa sisa keropok hasil ekspolasi anak-anak. Ada bagusnya juga terapi ini dilakukan, rumah bersih hati tenang : )

Terapi untuk hari ini dilksanakan untuk sofa '2 seater' dahulu. Bimbang jika dilakukan berlebihan akan keletihan dan tidak sempat hendak melayan anak-anak, bertambah pula karenah mereka nanti. Cuti sekolah begini, jika kami tidak ke mana-mana, banyak masa dihabiskan di rumah sahaja. Jadi saya kena pastikan stok makanan sentiasa ada, TV pula dipasang hampir sepanjang masa. Kadar sepahan di dalam rumah semakin bertambah jika dibandingkan dengan hari persekolahan. Tahap ekspolarasi yang tinggi di dalam diri anak-anak kadangkala sukar dijangka. Main, main dan main. Saya yakin ini adalah proses pembelajaran untuk mereka walaupun kadangkala sakit mata memandang hasil ekspolari tersebut.

Anak-anak adalah anugerah Allah. Menjaga mereka memang memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang tinggi. Ilmu keibubapaan perlu ditambah dari hari ke hari. Semoga Allah mempermudahkan segala-galanya untuk hari ini dan akan datang, InShaa Allah.


Sofa dah bersih dan wangi, boleh baring dan berehat bersama keluarga dengan nyaman.

No comments:

Post a Comment

Copyright to Diari Surirumah Online
Designed by UMIESUEstudio 2015