Tahun 2013, anak sulung masih di tadika, maka banyaklah peluang untuk kami mengikut suami ke luar kawasan (out-station). Kami ambil kesempatan bercuti walaupun pada siang harinya suami keluar bekerja. Destinasi kali ini adalah ke negeri Perak. Kami menginap di hotel Grand Kampar. Pada malam terakhir setelah kerja suami selesai, kami mengambil keputusan untuk ke Zoo Taiping memandangkan sudah berada di negeri perak dan ia adalah permintaan anak-anak yang teringin melihat haiwan di zoo pada sebelah malam.
Sebelum sampai ke Zoo Taiping, kami sempat singgah di Kuala Sepetang yang terkenal dengan Mee Udangnya. Setelah sampai di sana, dengan keadaan perut yang kelaparan, dua mangkuk mee udang Kuala Sepetang telah kami pesan. Dah lapar kan, semuanya sedap. Memang sedap! Udangnya besar, rasa nak lagi, lagi dan lagi.
Kini tiba masa yang dinantikan, kami tiba di Zoo Taiping Night Safari. Keadaan cuaca yang baik ditambah dengan tiada panas terik matahari, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki berbanding naik keretapi yang disediakan untuk melihat haiwan-haiwan di zoo tersebut. Berpeluh! Tapi sangat santai. Anak kecil saya, Eryna ketakutan mendengar bunyi cengkerik. Banyak juga haiwan seperti zirafah, kuda belang, buaya, gajah. dan banyak lagi. Ada juga haiwan yang menyembunyikn diri pada waktu malam. Gembira sungguh si abang dan adik melihat haiwan-haiwan dengan mata sendiri. Selepas berjaya menghabiskan perjalanan mengelilingi Zoo Taiping kami perlu kembali ke hotel di Kampar tempat kami menginap. Anak-anak tertidur keletihan. Alhamdulillah, kami selamat sampai ke destinasi yang dituju.
No comments:
Post a Comment